Masalah inilah yang sebenarnya menghantui pemikiran, pendapat,
kepercayaan dan sikap umat Islam umumnya pada hari ini. Bukan
sahaja di negara kita Malaysia, malah di seluruh dunia Islam amnya,
sejak zaman dahulu lagi hinggalah ke hari ini, tidak kira apa
mazhab pun, masalah ini tetap sama sahaja.
Jika ada mana-mana ulama atau orang perseorangan yang cuba
membangkitkan masalah yang cukup khilafiah ini, reaksi-reaksi
berikut akan dapat dilihat pada orang yang kita ajukan itu.
- Menolak serta-merta. Alasan yang diberikannya
ialah hadis-hadis mengenai Imam Mahdi adalah hadis palsu atau
sangat dhaif. Mereka ini lazimnya tidak mengetahui ilmu sanad dan
rawi hadis, ilmu jarah dan ta’dil serta tingkatan-tingkatan
hadis.
- Menolak mentah-mentah serta memandang rendah
orang yang menimbulkan masalah ini, kerana katanya mempercayai
perkara yang tidak jelas dalam masalah agama. Mereka ini adalah
golongan yang banyak dipengaruhi oleh corak pemikiran yang telah
diacu oleh pihak penjajah sejak dahulu.
- Menolak sebahagian hadis yang berkaitan dengan
Imam Mahdi termasuk mengenai Pemuda Tamim, Pemuda Bani Hasyim,
Al-Haris Harras dan lain-lain. Hadis-hadis yang ada kelihatan hanya
sesuai untuk zaman dahulu sahaja, bukan pada zaman ini. Mereka ini
hanya menilai hadis berdasarkan maksud zahirnya sahaja, bukan makna
yang tersirat yang ada di sebalik hadis-hadis berkenaan.
- Menolak dengan alasan menunggu ketibaan Imam
Mahdi tanpa berusaha adalah perbuatan yang sia-sia. Lebih baik umat
Islam bangun dan membina kekuatan sendiri dan menegakkan negara
Islamnya sendiri tanpa perlu menunggu munculnya Imam Mahdi. Konsep
Al-Mahdi itu sebenarnya ada di dalam diri setiap umat Islam dan
Mahdi itu adalah sekumpulan umat Islam sendiri yang berusaha
membawa kemajuan. Mereka yang berpendapat begini adalah dari
kalangan cendekiawan Islam dan para sarjana Islam yang mengaji di
universiti luar negeri, terutama di negara Barat.
- Menolak dengan alasan sudah lebih seribu tahun,
namun Imam Mahdi tidak juga muncul, dan kemungkinannya tidak akan
muncul lagi ke dunia ini. Lagipun ini adalah zaman moden, bagaimana
Imam Mahdi itu akan muncul pada zaman moden ini? Takkan Imam Mahdi
itu nanti naik kuda dan mengacungkan pedang? Inikan zaman moden,
tak sesuai sangatlah keadaannya nanti. Mereka ini banyak
dipengaruhi oleh logik akal mentah mereka yang pendek semata-mata,
tanpa mengetahui bahawa hadis-hadis berkenaan mempunyai maksud
tersirat yang sekali-kali tidak mereka ketahui.
- Bersikap berdiam diri kerana memang tidak tahu
dan tidak pernah ambil tahu. Mereka adalah dari kalangan orang awam
yang tidak mendapat pengetahuan yang mencukupi mengenai persoalan
agama, apatah lagi masalah Imam Mahdi yang khilafiah ini. Mereka
serba salah hendak menjawab soalan ini.
- Tidak menerima dan tidak pula menolak kemunculan
Imam Mahdi sambil menyatakan pendiriannya bahawa semua itu mungkin
saja ada dan mungkin saja tidak ada. Bersikap pertengahan adalah
lebih selamat bagi mereka dan golongan seperti ini memang ramai
pada masa ini.
- Tidak menolak sepenuhnya, yakni menerima konsep
Mahdi tetapi menyatakan bahawa Mahdi itu sebenarnya adalah umat
Islam itu sendiri. Oleh itu, mereka perlu bangun dan membina
kekuatan ummah melalui jalan politik dan ekonomi, serta dihiasi
oleh akhlak yang mulia. Kebanyakan mereka ini adalah golongan
pentadbir, ahli politik, teknokrat Islam dan ahli ekonomi Islam
yang mendapat pendidikan formal dari Barat.
- Menerima konsep Mahdi tetapi bertanya semula,
bilakah Imam Mahdi itu akan muncul. Siapa dia Imam Mahdi itu?
Sejauh mana ‘modennya’ Imam Mahdi itu nanti? Mereka ini
adalah golongan yang banyak tanya tetapi tidak dapat memikirkan
lebih jauh daripada itu.
- Menerima sepenuhnya, tetapi berbeza pendapat
mengenai diri Imam Mahdi itu yang jika dilihat menurut kaedah Ahlus
Sunnah adalah tidak tepat sama sekali. Mereka ini adalah golongan
yang cuba mengambil kesempatan daripada sesuatu keadaan atau ada
niat yang lain.
- .Menerima sepenuhnya konsep Imam Mahdi, meyakini
semua hadis yang berkaitan dengannya dan menanti-nanti kemunculan
Imam Mahdi itu ke dunia ini, dengan penuh harap, penuh kerinduan,
penuh kasih sayang, penuh gembira dan kadang-kala seperti tidak
sabar menunggu lebih lama lagi. Mereka ini ada dua golongan yang
besar iaitu Ahlus Sunnah wal Jamaah dengan Imam Mahdinya sendiri
dan puak Syiah dengan Imam Mahdinya pula, yang jauh berbeza
keperibadiannya daripada Imam Mahdi Ahlus Sunnah.
- Golongan yang terpinga-pinga untuk menjawab
kerana tidak pernah tahu dan tidak pernah ambil tahu. Mereka adalah
golongan majoriti orang awam dalam Ahlus Sunnah wal Jamaah. Hal ini
berbeza dengan Syiah yang amat mengajarkan kepada golongannya akan
konsep Imam Mahdi ini. Antara sebabnya ialah Ahlus Sunnah tidak
pernah menekankan peri pentingnya Imam Mahdi itu kepada masa depan
dan survival umat Islam, seperti yang Syiah ajarkan
kepada pengikut mereka.
Kemudian, jika kita lihat dengan lebih teliti dan saksama (jika
orang itu memang mahu mencari kebenaran hakiki), akan kita dapati
bahawa hadis-hadis yang menceritakan mengenai Imam Mahdi dapat
dikategorikan kepada tiga bahagian, iaitu hadis-hadis yang sahih,
hadis-hadis yang hasan dan hadis-hadis yang dhaif. Maka yang
maudhuk itu tidaklah kita masukkan ke dalam perbicaraan kita
ini.
Semua ulama kenamaan dalam mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah
bersetuju bahawa hadis-hadis sahih mengenai Imam Mahdi adalah hadis
yang sudah boleh dikategorikan sebagai hadis mutawatir maknawi.
Hadis mutawatir maknawi adalah sekumpulan besar hadis yang
berbagai-bagai matan, rawi dan sanadnya, tetapi semua hadis
berkenaan menceritakan satu perkara atau mauduk yang sama iaitu
mengenai Imam Mahdi.
Imam an-Nawawi, seorang tokoh ulama terkenal dalam mazhab
Syafie dan juga seorang pakar hadis pada zamannya berkata,
“Beberapa buah hadis yang tersebut ini, walaupun semua
sanadnya dhaif, tetapi kerana satu sama lain saling menguatkan,
maka hadis-hadis ini menjadi hadis hasan. Dan hadis yang demikian
ini boleh digunapakai sebagai hujah. Pendapat yang seperti ini pada
zaman lampau telah dikemukakan oleh Imam al-Baihaqi dan ulama-ulama
lain. Sebenarnya nilai kedhaifan hadis berkenaan terletak pada
buruknya hafazan, atau tercampur-campurnya hafazan, atau adanya
pemalsuan, tetapi rawi-rawinya adalah orang-orang yang jujur dan
taat melaksanakan perintah agama. Adapun hadis yang dhaif kerana
adanya pendustaan atau menyalahi hadis-hadis yang lain, maka yang
demikian itu tidaklah dapat lagi diangkat tarafnya menjadi hadis
hasan.”
Grand Muhaddis Abdullah bin Sadek, Ph.D., menyatakan di
dalam bukunya, Al-Mahdiyul Muntazar, kira-kira
begini:
“Malang sekali, terdapat ramai orang, termasuk yang
berpengetahuan percaya bahawa tidak ada al-Mahdi. Ini sebenarnya
disebabkan kejahilan mereka terhadap sabda-sabda Nabi SAW yang
menyatakan kemunculannya pada akhir zaman nanti.”
Tulisnya lagi pada bahagian Pengenalan bukunya
itu,
“Adalah sangat mustahil hadis-hadis (mengenai Al-Mahdi)
yang telah disahkan sebagai mutawatir oleh Al-Huffaz, (masih) boleh
lagi dikatakan palsu (oleh orang ramai).”
Kalangan yang belajar ilmu mustalah hadis amat memahami dan
mengakui betapa benarnya ucapan Hafiz kenamaan ini. Tidak ada
keraguan lagi padanya.